Berbaloikah Menggadai Akhlak Untuk Perkara Ini?


Senario semasa dalam negara masa ini kelihatan 'semakin hangat' dengan pelbagai isu yang diutarakan demi menjayakan misi dan visi meraihkan sokongan. Keadaan seperti yang sedang timbul ini telah menyebabkan suasana kehidupan bersosial menjadi sedikit renggang dan tidak lagi harmoni.

Apakah kerana adanya pilihan raya, maka segalanya perlu 'digadai' semata-mata mahu memperoleh sokongan sehingga adab dan akhlak murni diketepi. Babak-babak kehidupan dengan lontaran kata-kata bernaratif negatif meluncur keluar selajunya tanpa memperhitungkan dosa dan pahala.

Apakah dek kerana kita sedang berada di musim pilihan raya, kerukunan dan keharmonian hidup bernadikan ukhuwah Islamiyyah mahu kita kendurkan? 

Bagaimanapun, seandainya kita meneliti perkembangan semasa yang sedang kita lalui buat masa ini, maka tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa adab dan akhlak Islam telah tidak dipedulikan lagi.

Sesungguhnya, Islam meletakkan adab dan akhlak sebagai penyeri peribadi pada setiap umatnya. 


Sekiranya kita mengkaji dengan mendalam titik awal perkembangan syiar Islam yang diperjuangkan oleh Baginda Rasulullah SAW bersama-sama para sahabatnya dahulu, maka kita pasti dapat melihat dengan jelas bagaimana aspek peribadi umat yang berakhlak terpuji tinggi sentiasa dipasakkan dalam diri mereka.

Sungguh malang apabila setiap musim berlangsung pilihan raya, kita seperti lupa apa yang ditegah oleh agama dan mengabaikan apa yang dilarang oleh Allah. Meskipun semua mengerti dan memahami bahawa perbuatan mahupun perkataan yang buruk dan keji bukan sifat sejati umat Nabi SAW. 

Demi meraih dunia, penghitungan dosa dan pahala sanggup diketepi tanpa berfikir bahawa setiap perbuatan mahupun kata-kata terucap tetap kekal terpahat dalam buku catatan amal.

Jadi, sebarang bentuk ucapan berkomunikasi dan berinteraksi bersifat provokasi sehingga mengguriskan sentisitiviti pihak lain ditegah sama sekali. Selain itu, Islam menghubungkan adab dan akhlak baik dengan kedudukan iman seseorang umatnya. 

Ini sebagaimana ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadisnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang menyebut: "Sesiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam."

Perang mulut yang dihamburkan tanpa tapisan bukan hanya menyebabkan timbulnya bibit-bibit persengketaan, malah situasi sedemikian mencerminkan betapa buruknya sikap peribadi. Kita seharusnya membuktikan hakikat iman melalui komunikasi dan interaksi agar kita tidak terjerumus ke dalam kategori orang yang sekadar imannya di tepi bibir sahaja dan tidak melekat di hati. 


Dalam waktu-waktu mutakhir ini juga kita sudah lazim dengan episod saling melondeh aib orang lain. Apa sahaja perbuatan buruk akan seboleh-bolehnya mahu ditayangkan untuk paparan umum. 

Kita sudah lupa apa yang dipesankan oleh Junjungan Mulia Nabi kita yang pernah ingatkan dengan sabdanya: "Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutup aib hamba yang pertama tadi di Hari Kiamat." (Hadis diriwayat Imam Muslim)

Pesanan Nabi ini seolah-olah sekadar berada dalam galeri hati hati yang tidak mampu lagi dihayati sebagai pedoman hidup untuk melayari urusan duniawi. 

Sebagai renungan, marilah bersama kita hayati satu kisah yang dibawa oleh Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Tawwabin yang mengisahkan peristiwa berikut. 

Telah diriwayatkan pada zaman Nabi Musa. Bani Israel telah ditimpa musim kemarau yang panjang. Mereka pun berkumpul lalu pergi menemui Nabi Musa. 

Mereka mengadu kepada Baginda. "Wahai Nabi, berdoalah kepada Tuhanmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami." Maka berangkatlah Nabi Musa bersama-sama 70,000 orang kaumnya menuju padang pasir yang luas. 

Mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh, penuh debu, haus dan lapar. Nabi Musa berdoa: "Wahai Tuhan kami turunkanlah hujan kepada kami, sebarkanlah rahmat-Mu, kasihilah anak-anak dan orang-orang yang mengandung, haiwan-haiwan dan orang-orang tua yang rukuk dan sujud." 

Meskipun demikian, langit tetap terang benderang, matahari pun bersinar makin kemilau (tiada sebarang tanda akan hujan). 

Kemudian Nabi Musa berdoa lagi: "Wahai Tuhanku (berilah kami hujan). Walaupun padaku keagungan, namun (aku minta) dengan keagungan Nabi Muhammad yang ummi yang bakal engkau utuskan di akhir zaman." 

Lalu Allah berfirman kepada Nabi Musa: "Tidak diciptakan keagunganmu di sisi-Ku, sesungguhnya engkau di sisi-Ku adalah terkemuka. Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kamu sedangkan di antara kamu ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Keluarkanlah ia di depan manusia agar dia berdiri di depan kamu semua. Kerana dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kamu." 

Maka Nabi Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya: "Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, kerana engkaulah hujan tidak turun." Maka tidak seorang pun yang keluar di depan manusia. 

Pada saat itu, orang berkenaan sedar kalau dirinyalah yang dimaksud. Lalu ia berkata dalam hatinya: "Kalau aku keluar ke depan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tidak akan turun". 

Maka kepalanya tertunduk malu dan menyesal, air matanya pun menitis, sambil berdoa dan bertaubat kepada Allah: "Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepada-Mu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sesungguhnya sekarang aku bertaubat kepada-Mu, maka terimalah taubatku." 


Belum sempat ia mengakhiri doanya, maka awan-awan tebalpun berkumpul. Bila semakin tebal, lalu turunlah hujan. 

Nabi Musa pun kehairanan dan berkata: "Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tidak seorang pun yang keluar di depan manusia." 

Allah berfirman: "Aku menurunkan hujan kerana seorang hamba yang kerananya hujan tidak turun (tetapi sekarang ia telah bertaubat)." 

Musa berkata: "Ya Allah, tunjukkan kepadaku hamba yang taat itu." Allah berfirman: "Wahai Musa, Aku tidak membuka aibnya padahal ia bermaksiat kepada-Ku, apakah Aku membuka akan aibnya sedangkan ia taat kepada-Ku?" 

Sedangkan Allah sendiri tidak membuka aib hamba-Nya meskipun diminta oleh Nabi Musa itu. Jadi, mengapakah pula kita sebaliknya, yang tergamak dengan sewenang-wenang tanpa berasa berdosa untuk menceritakan segala keburukan orang lain. 

Oleh itu, jadikanlah adab, akhlak murni penyeri peribadi.

*Penulis Pensyarah Kanan Politeknik Muadzam Shah/Harian Metro

Comments