Bila Anak Pangkor Membelah Dunia...


Seperti negara lain, Malaysia pasca Covid turut dibayangi pelbagai episod dan krisis yang melibatkan kesihatan, ekonomi, politik dan pentadbiran, serta keadaan sosio-ekonomi rakyat yang tidak menentu.

Sudah tentu bukan mudah bagi sebuah kerajaan baharu Malaysia Madani untuk bangkit kembali ke landasan yang stabil, teguh berdaya saing dan tinggi berpotensi dipacu ke arah status negara maju.

Menteri Luar

Sudah tentu, peranan Menteri Luar amat ditagih bagi mengharumkan nama negara di mata dunia meskipun beliau seolah tersimpang dari radar perhatian umum, khususnya dalam negara.


Mungkin sebilangan golongan menyangka jawatan penting tersebut diwarnai keseronokan. Naik kapal terbang ke sana ke mari, sering berada di luar negara, seolah melancong berbulan madu saja rutinnya.

Namun mungkin tidak ramai yang sedari bahawa tugas tersebut bukan hanya memeningkan kepala memikirkan dasar-dasar luar negara, berdepan pelbagai konflik antarabangsa khususnya yang melibatkan Malaysia dan pelbagai urusan diplomatik lain.

Tidak pula disangka jawatan tersebut bukan saja membawa imej rasmi negara di pentas antarabangsa, malah turut memaksa penjawatnya sering berjauhan dengan anak isteri, sanak saudara, masyarakat dan kehidupan sosial yang menyeronokkan.

Hampir setiap minggu turun naik kapal terbang hingga mudah terperangkap dengan "jetlag", mampu menyebabkan stress, bosan atau tak cukup lena, dan tertidur ketika mesyuarat.

Nak bersantai sarapan pekena roti canai kuah banjir dan teh tarik lambung di warung Pak Wahab 3 bulan sekali pun payah!

AMM ke-56 (Jakarta, 8-14 Julai 2023)

Persidangan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-56 (AMM ke-56) pastinya sebuah persidangan penting yang ditunggu-tunggu setiap Menteri Luar dari mana-mana negara, termasuk Malaysia.


Negara ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura. 

Hampir seminggu di Jakarta lebih 17 mesyuarat dihadiri dan pelbagai pertemuan diadakan dengan Menteri-Menteri Luar ASEAN, malah delegasi Malaysia turut menarik perhatian Menteri Luar serta delegasi negara maju yang hadir sama di persidangan berkenaan.

Perbincangan dalam pelbagai bidang secara unilateral, bilateral mahupun trilateral juga berlangsung lancar membincangkan hubungan dua hala, termasuk Malaysia menyuarakan soal kepentingan Palestin, Islamophobia, Laut China Selatan, konflik Myanmar dan komoditi minyak sawit negara. 


Membanggakan, peranan dan suara Malaysia bukan saja mendapat perhatian negara-negara ASEAN, malah turut menarik perhatian Menteri-Menteri Luar bukan ASEAN yang hadir dari pelbagai negara maju dunia dan berharap menemui delegasi negara Madani ini.

Malaysia Menarik Perhatian Negara Maju, Membangun

Sedaya upaya tidak menghampakan harapan tersebut, Menteri Luar Malaysia yang mengetuai delegasi negara berjaya selitkan lebih 11 pertemuan dengan Menteri Luar dan delegasi pelbagai negara maju serta membangun.


Antara negara terbabit adalah Jepun, United Kingdom, China, Rusia, New Zealand, Arab Saudi, Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Norway, Republik Korea, India, Timor-Leste, Mongolia, Bangladesh dan wakil delegasi negara-negara Kesatuan Eropah (EU). 


Lebih mengujakan, ramai dalam kalangan Menteri Luar dan delegasi tersebut meminta agar kesinambungan pertemuan dapat diadakan di Malaysia bagi mengeratkan lagi hubungan diplomatik dua hala, khususnya berkaitan ekonomi, sosio-budaya dan pelbagai sektor penting.

Fenomena Hujan Lebat: Rakyat Malaysia Terkandas Di India?

Sedang sibuk bersidang membincangkan soal-soal dasar luar, tiba-tiba Menteri Luar kita dimaklumkan Wisma Putra tentang 10 rakyat Malaysia yang terputus hubungan dalam fenomena hujan lebat di Wilayah Utara India.

Sempat lagi beliau menyelit melakukan sesuatu untuk mangsa-mangsa tersebut!

Alhamdulillah, berkat ikhlas melaksanakan tugas dan hubungan baik dengan Kerajaan India, 10 anak Malaysia itu berjaya dibawa pulang atas kerjasama erat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi.

Penat?

Penat? Sudah tentulah 'maha'-memenatkan. Kita yang membaca sedikit tentang persidangan AMM ke-56 ini pun sudah memenatkan, inikan pula Menteri Luar dan delegasi Wisma Putra yang bertungkus-lumus membawa imej negara di persada dunia.

Pun begitu, itulah cabaran yang diharungi Menteri Luar Malaysia kita, Dr. Zambry Abd. Kadir atau mesra disapa sebagai Doc Zam, yang mengetuai pasukan delegasi negara.


Sanggup mengetepikan kepentingan peribadi, amanah negara itu digalas anak Pangkor ini dengan penuh rasa tanggungjawab bagi membina kembali Malaysia yang diimpikan setiap rakyat di negara ini.

Bersamalah kita membina negara, semoga esok membuahkan hasil yang manis buat semua. -My Malaysia

Berikut adalah antara gambar-gambar rangkuman AMM ke-56:











Comments