KUALA LUMPUR - Pegawai yang mengamalkan birokrasi atau 'pilih bulu' dalam menjalankan siasatan tidak terlepas daripada tindakan, tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata, pemerhatian dan penilaian masyarakat terhadap PDRM berkisar kepada kebolehupayaan membendung jenayah, siasatan, tangkapan dan pendakwaan.
Katanya, ini termasuk penguatkuasaan undang-undang dalam penyiasatan dan pendakwaan jenayah yang perlu dilaksanakan dengan bijak.
"Kualiti maklumat risikan jenayah menentukan hasil operasi dan seterusnya paling utama adalah untuk mendakwa pesalah di mahkamah.
"Justeru, kita harus memperkasakan kredibiliti, kecekapan dan kemahiran pegawai kita bagi memastikan kualiti 'crime prevention' (pencegahan jenayah) serta 'crime suppression' ( menumpaskan jenayah) pada tahap tertinggi," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, indeks jenayah negara menunjukkan penurunan sebanyak 292 kes atau 1.1 peratus bagi tempoh separuh tahun pertama pada tahun ini.
Beliau berkata, sebanyak 25,482 kes dicatatkan sejak 1 Januari hingga 30 Jun lalu berbanding 25,774 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 16,518 kes atau 64.8 peratus berjaya diselesaikan berbanding sasaran 45 peratus, manakala 56,677 kertas siasatan dibuka dengan 31,014 pertuduhan dicapai dari Januari hingga Jun lalu.
"Kita sudah mengharungi cabaran enam bulan pertama dan kini memasuki enam bulan terakhir sebelum tiba ke penghujung tahun. Untuk itu, besarlah harapan saya supaya momentum kecemerlangan PDRM terus dipertingkatkan dengan melakar lebih banyak episod kejayaan," katanya.
Sumber: Berita Harian
Comments
Post a Comment