ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau masih belum menerima notis pendakwaan mahkamah sebagaimana yang dilaporkan hari ini.
"Saya belum dimaklumkan," katanya melalui pesanan teks ketika dihubungi sebuah portal online pada jam 7 petang tadi.
Pendakwaan terhadap pengarah pilihan raya PN itu dipercayai berkaitan kenyataan yang didakwa menghina institusi Kesultanan Selangor dalam memilih menteri besarnya.
Ini berdasarkan penyenaraian kes yang akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Selayang pada pukul 9 pagi esok, manakala sumber mengesahkan bahawa polis telah menyelesaikan siasatan mereka terhadap pemimpin PAS itu.
Menurut penyenaraian mahkamah, seorang dengan nama 'Muhammad Sanusi Bin Md Nor' akan didakwa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Osman Affendi Mohd Shalleh dan Nor Rajiah Mat Zin masing-masing di Mahkamah Sesyen 1 dan 2 Selayang.
Dokumen itu, tersedia untuk orang ramai di laman web badan kehakiman, tidak menyatakan butiran mengenai pertuduhan atau jenis kes terhadap Sanusi.
Bagaimanapun, menurut sumber polis, Sanusi disiasat bagi kes 3R (kaum, agama dan raja-raja Melayu) di bawah Akta Hasutan dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.
“Apa yang saya faham, IP (kertas siasatan) telah diserahkan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara) awal hari ini,” kata sumber itu kepada portal berkenaan.
Berikut antara kenyataan Sanusi yang dikatakan menimbulkan kontroversi dan mengundang laporan polis itu:
"Bukan koman-koman (lekeh), sultan setara itu hangpa bayang dan tengok menteri besar (merujuk dirinya), sultan hebat macam itu tak akan pilih menteri besar cokia macam Amir (Amirudin). Inci pun tak berapa cukup.” katanya. -MM
Comments
Post a Comment