"Tidak Bersalah Selagi Tidak Dibuktikan" - PAS Kedah


ALOR SETAR - PAS Kedah menyeru semua ahli dan penyokong parti itu bertenang serta tidak beremosi susulan laporan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dilapor akan didakwa di mahkamah esok.

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya menganggap pendakwaan terhadap Sanusi itu tidak menggambarkan Menteri Besar itu bersalah.

"PAS Kedah mengharapkan semua ahli dan penyokong PAS bertenang, tidak dipengaruhi emosi dan sentiasa patuh pada undang-undang negara.

"PAS Kedah ambil maklum Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah akan dihadapkan ke mahkamah pagi esok.

"PAS Kedah berpegang pada prinsip 'innocent until proven guilty' iaitu seseorang yang dihadapkan ke mahkamah tidak boleh lagi dianggap bersalah sehingga terbukti sebaliknya," katanya dalam kenyataannya yang dipetik dari Berita Harian, malam ini.

Kata Ahmad Yahaya, pihaknya berharap agar proses perundangan dapat dilaksana secara adil, berpegang teguh pada prinsip keadilan mengikut undang-undang serta bebas daripada cengkaman atau pengaruh politik.

Pemimipin PN, PAS dan penyokong parti itu sebelum ini menggambarkan Presiden UMNO, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai 'bersalah', meskipun 40 kesnya yang dibicarakan telah ditolak mahkamah, manakala 47 kes lagi sedang dalam perbicaraan.

Manakala mahkamah dilapor pernah meningkatkan bayaran ganti rugi sehingga RM120,000 untuk dibayar kepada Dato' Mahfuz Omar atas saman berkaitan fitnah yang dilemparkan Menteri Besar Kedah itu terhadap bekas Ahli Parlimen berkenaan. - MM

Comments