Terpaksa menutup Kedutaan Besar negara lebih dua dekad lalu akibat pergolakan politik dalaman di Iraq, Malaysia kini mengorak potensi besar di negara-negara Islam di rantau Asia Barat, termasuk negara Islam yang membangunkan teknologi nuklear, Iran.
Terlebih dahulu mengadakan lawatan rasminya ke Iran pada 23 Ogos baru-baru ini, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir disambut mesra Presiden Republik Islam Iran, Seyyed Ebrahim Raisi yang mengalu-alukan lawatan delegasi negara.
Membawa misi mengembangkan lagi akses pasaran eksport komoditi dan produk tempatan negara, Dr. Zambry yakin kedudukan strategik Iran yang berkongsi sempadan dengan 15 negara lain, amat berpotensi menjadi hub utama di rantau tersebut.
"Kedudukan strategik Iran yang berkongsi sempadan dengan 15 negara lain berpotensi menjadi hub utama bagi eksport komoditi negara terutamanya produk minyak sawit yang merupakan 70% daripada jumlah dagangan Malaysia dengan Iran," kata beliau dalam satu kenyataan media.
Menteri Luar kemudian menyambung siri lawatan rasminya di rantau tersebut ke Iraq yang menyambut hangat kehadiran beliau yang diraikan Presiden Iraq, Abdul Latif Rashid, Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia’ al-Sudani, dan rakan sejawatnya, Dr. Fuad Hussein.
Abdul Latif meluahkan rasa teruja beliau apabila Dr. Zambry menzahirkan kesediaan Malaysia membuka kembali Kedutaan Besar negara dalam masa terdekat dan menyatakan harapan beliau agar Malaysia bersama dalam usaha membangunkan negara tersebut.
Dr. Zambry turut menjelaskan kesediaan Malaysia mempertingkat jumlah dagangan antara kedua negara dan bersama mengambil bahagian membina prasarana serta infrastruktur di Iraq, termasuk pembinaan dan pengurusan lapangan terbang, sistem jalan raya serta pengurusan sumber air.
"Beberapa perkara penting lain yang telah dicapai dalam lawatan rasmi ini...
"Malaysia bersedia untuk meneroka peluang untuk meningkatkan jumlah dagangan serta mengambil bahagian dalam projek pembinaan semula Iraq seperti pembinaan dan pengurusan lapangan terbang, sistem jalan raya serta pengurusan sumber air," jelas beliau berhubung pertemuannya dengan pemimpin tertinggi Iraq itu.
Selain itu, Dr Zambry turut komited untuk merancakkan lagi peranan Suruhanjaya Bersama (JCM) antara Malaysia dan kedua negara Islam rantau Asia Barat itu menerusi pelbagai kerjasama dalam bidang-bidang utama yang lain.
Selain ekonomi dan perdagangan, antara potensi yang dikenal pasti ialah sektor pelancongan, keterjaminan makanan, pendidikan, sains dan teknologi, pembangunan, farmaseutikal, bioteknologi, nanoteknologi, peralatan perubatan dan penyelidikan pembangunan vaksin.
Menteri Luar yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu turut optimis tentang impak lawatan beliau ke negara tersebut bakal membuka lembaran baharu hubungan dua hala di antara Malaysia dan negara-negara di rantau Asia Barat.
"Lawatan ini merupakan satu permulaan untuk Malaysia berperanan sebagai negara yang proaktif dalam hubungan antarabangsa terutamanya di Asia Barat.
"Pastinya ini merupakan peluang terbaik untuk meletakkan Malaysia kembali ke persada antarabangsa dalam mendepani isu-isu global," kata anak jati negeri Perak itu. - MyMalaysia
Comments
Post a Comment