Bukan mudah jadi wakil rakyat di zaman ini. Jadi wakil rakyat di zaman pasca millenium, selepas wujudnya platform media sosial sangat berbeza dengan era sebelumnya.
Di zaman ini, wakil rakyat tidak lagi boleh menganggap dirinya 'tuan'. Sebaliknya, seorang wakil rakyat perlu tahu bahawa beliau bertuankan rakyat. Beliau perlu melalui proses temuduga selama sepenggal untuk memastikan dirinya beri kerja sebagai 'wakil' oleh rakyat.
Jika majoriti rakyat memilihnya, maka beliau lulus jadi 'wakil rakyat'. Jika tidak, maka beliau perlu bekerja lebih keras untuk menanti sepenggal lagi hari mengundi. Itu pun jika partinya masih mencalonkan dirinya dan tidak menggantikan beliau dengan calon lain.
Beliau perlu dekati rakyat di kawasan bertanding dalam tempoh yang panjang. Jadi, tidaklah nanti disindir, "nak pilihan raya, baru nampak batang hidung'.
Rakyat yang didekatinya perlulah menyeluruh, bukan ahli parti atau penyokongnya sahaja. Individu 'atas pagar', ahli dan penyokong parti lain yang mengundi di dalam kawasan tersebut juga perlu didekati seikhlas mungkin.
Seorang wakil rakyat juga tidak boleh 'memilih bulu'. Tolong geng-geng tertentu sahaja, tapi tak peduli mereka yang tak sebulu dengannya? Alamatnya, kemungkinan besar buruk masa depan beliau nanti.
Berhati-hati juga dengan 'tukang kipas'. Beliau perlu kenal siapa 'tukang kipas' dan agendanya. Jika tidak, mungkin beliau akan sentiasa bermimpi indah di kayangan, namun realitinya beliau sedang menyusuri longkang bernajis!
Selain itu, ada juga geng 'sokong bawa rebah'. Mereka akan menyokongnya biarpun beliau melakukan perkara yang salah. Kononnya, menjaga hati. Padahal, sokongan tersebut juga akan menghumban beliau ke longkang kekalahan kelak.
Paling penting, perlu sentiasa ingat bahawa segalanya akan dihisab Allah di akhirat nanti, termasuk tindakan kita. Mungkin boleh terlepas di dunia, tapi kita takkan terlepas di akhirat.
Jika nak selamat dunia akhirat, jadilah wakil rakyat yang benar-benar 'wakil rakyat'! - MY Malaysia
Comments
Post a Comment