KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia pulih daripada penurunan minggu lepas untuk ditutup dalam wilayah positif hari ini seiring dengan prestasi kukuh bursa serantau di tengah-tengah sentimen pasaran serantau yang bertambah baik, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FBM KLCI menokok 9.08 mata atau 0.63 peratus kepada 1,459.43 daripada 1,450.35 sewaktu ditutup pada Jumaat.
Petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 0.72 mata kepada 1,451.07 dan mencapai paras tertinggi harian pada 1,464.70.
Suasana pasaran turut positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 545 berbanding 405, manakala 452 kaunter tidak berubah, 902 tidak diniagakan dan 53 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 3.29 bilion unit bernilai RM2.49 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mencatatkan prestasi memberangsangkan berikutan sokongan kukuh daripada institusi tempatan dan pembelian berterusan daripada dana asing.
Menurutnya prestasi teguh itu adalah selari dengan prestasi baik di seluruh rantau ini.
Di China, Biro Perangkaan Kebangsaan melaporkan Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan meningkat kepada 49.3 pada Julai, menokok daripada 49.0 pada Jun dan anggaran pasaran sebanyak 49.2.
Di Jepun pula, pelabur masih membuat penilaian terhadap keputusan dasar monetari Bank of Japan untuk menaikkan had hasil bon dan kemungkinan pelarasan kepada dasar monetarinya yang amat longgar.
Di peringkat tempatan, beliau optimis terhadap unjuran dalam tempoh sederhana berikutan sentimen pasaran tempatan dan sokongan asing yang bertambah baik, namun pelabur mungkin terus berwaspada dengan ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat dan ketidaktentuan luaran.
"Berdasarkan analisis semasa, FBM KLCI dijangka bergerak lebih tinggi, antara 1,460 dan 1,475 pada sepanjang minggu.
"Selepas melepasi paras rintangan 1,460, kita akan melihat paras rintangan seterusnya pada 1,490, dengan paras sokongan pada 1,440," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing menokok 3.0 sen kepada RM9.02, RM4.17 dan RM9.60, CIMB menambah 5.0 sen kepada RM5.55 dan Petronas Chemicals meningkat 10 sen kepada 6.95.
Bagi saham aktif, Top Glove menokok 2.5 sen kepada 92 sen, KNM mengukuh setengah sen kepada 9.5 sen, manakala Sarawak Consolidated tidak berubah pada 43.5 sen.
Hong Seng and UEM Sunrise menyusut 1.0 sen kepada 6.5 sen dan 48 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM 70 meningkat 14.27 mata kepada 13,949.59, Indeks FBM Emas meraih 50.35 mata kepada 10,703.28, Indeks FBMT 100 meningkat 51.70 mata kepada 10,392.88, Indeks FBM Emas Syariah naik 47.52 mata kepada 10,952.72 dan Indeks FBM ACE menambah 8.80 mata kepada 5,330.13.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 94.24 mata kepada 16,274.05 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.20 mata kepada 168.71, Indeks Perladangan menambah 30.32 mata kepada 7,180.43, manakala Indeks Tenaga menguncup 2.55 mata kepada 830.15.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 2.32 bilion unit bernilai RM2.24 bilion daripada 2.07 bilion unit bernilai RM1.69 bilion minggu lepas.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 363.95 juta unit bernilai RM58.30 juta daripada 373.88 juta unit bernilai RM60.81 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan Pasaran ACE mengukuh kepada 607.69 juta saham bernilai RM195.49 juta daripada 579.16 juta saham bernilai RM166.44 juta pada Jumaat.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 459.82 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (404.77 juta); pembinaan (207.28 juta); teknologi (388.38 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (92.47 juta); hartanah (290.91 juta); perladangan (38.32 juta); REIT (12.39 juta), dana tertutup (57,700); tenaga (193.0 juta); penjagaan kesihatan (105.64 juta); telekomunikasi dan media (39.66 juta); pengangkutan dan logistik (33.33 juta); dan utiliti (53.15 juta). – Bernama
Comments
Post a Comment